Home Nasional Istana Kelantan tarik gelaran daripada Azeez

Istana Kelantan tarik gelaran daripada Azeez

Abdul Azeez Abdul Rahim
Abdul Azeez Abd Rahim

KUALA LUMPUR- Istana Kelantan menarik balik gelaran Datuk yang diberikan kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkuatkuasa 2 April lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, Istana Kelantan telah menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) daripada Azeez.

Dengan itu, Ahli Parlimen Baling itu sudah tidak boleh menggunakan gelaran Datuk lagi.

Tambahnya,  Azeez juga sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan menerusi surat yang disampaikan kepadanya pada hari yang sama.

“Apa-apa kuasa atau perkara yang berkaitan dengan anugerah Darjah Kebesaran ini juga tidak boleh digunakan.

“Yang berbahagia Datuk Seri Panglima juga dikehendaki mengembalikan ketandaan Darjah Kebesaran yang berkaitan kepada Yang Berhormat Datuk Perwira Raja, Pengelola Istana D’Raja, Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar, Kota Bharu dengan serta merta,” katanya.

Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salahguna) (Pindaan) 2015 diwartakan kerajaan negeri pada 27 Ogos 2015.

Enakmen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun bagi mana-mana orang yang menggunakan apa-apa Darjah, Tanda Kebesaran, Pingat, Lambang dan Bintang Kebesaran yang pernah dikurniakan oleh Sultan yang sudah ditarik balik oleh Baginda.

Enakmen itu juga memberi kuasa kepada polis untuk membuat penyiasatan di bawah enakmen terbabit termasuk kuasa untuk memasuki premis dan menggeledah serta menyita apa-apa keterangan atau barang kes yang disyaki berkait dengan kesalahan di bawah enakmen itu.- MalaysiaGazette