Home Utama Jangan amal politik sate, cucuk lepas itu bakar – Zahid

Jangan amal politik sate, cucuk lepas itu bakar – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada program sembang santai bersama penduduk sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Taman Angsamas, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta agar ahli dan penyokong parti itu untuk tidak amal  politik sate.

Katanya, istilah politik sate boleh diertikan sebagai budaya negatif yang cucuk-mencucuk sesama pemimpin oleh orang dalam parti sendiri.

“Politik ini banyak politik sate, sate tak namanya sate kalau tak dibakar tapi kena cucuk dulu. Sate kalau ada tukang kipas dia kipas kejap kiri, kejap kanan, kejap depan, kejap belakang. Tukang kipas sate ini bahaya. Ada dalam parti,  ada d iluar parti.

“(Saya) tidak ada cemburu-cemburu Tok Mad (Datuk Seri Mohamad Hasan) dia tidak cemburu saya tapi saya kena ingat saya ada tukang cucuk, Tok Mad lagi ramai tukang cucuk.

“Hati-hati dengan tukang cucuk ini,” katanya dalam siri program Ramah Mesra bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Taman Angsamas malam tadi.

Ini kali pertama Ahmad Zahid turun berkempen dalam PRK Rantau dan sebelum itu beliau hanya hadir semasa penamaan calon sahaja.

Mohamad kini memasuki fasa 100 hari dalam memikul tanggungjawab sebagai Presiden UMNO setelah Ahmad Zahid mengumumkan untuk bercuti mulai 18 Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN dan Pas harus memastikan bahawa Mohamad berjaya mengekalkan kerusi DUN Rantau pada hari pengundian 13 April depan.

“Tok Mad kena menang di Rantau,” katanya.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH); Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili BN dan dua lagi calon bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. -MalaysiaGazette