PRK RANTAU – Dr. S.Streram dikenakan dua syarat sekiranya menang dan diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau yang baharu pada Sabtu ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika Streram diumumkan sebagai wakil rakyat pada 13 April ini, beliau hanya perlu rehat sehari sahaja iaitu pada hari Ahad.
“Saya nak sebut pesan kepada dia (Streram) jika diumum sebagai wakil rakyat Rantau pada 14 April rehat sehari.
“Pada Isnin 15 April ini, syarat pertama dia perlu patuh ialah terus membuka pusat khidmat di Rantau bukan tunggu seminggu atau sebulan baru nak buka.
“Syarat kedua, bagi wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) ialah dia perlu menghebohkan nombor telefon bimbit kepada rakyat di Rantau untuk mudah dihubungi dan aktif 24 jam,” katanya semasa berucap di hadapan pengundi Cina di Taman Seri Intan Siliau malam tadi.
Saifuddin semasa berucap telah memanggil pakar bius itu berucap dengan memerhatikan cara calon itu meraih undi dalam bahasa Melayu dan bahasa Tamil di hadapan kira kira lebih 100 orang yang berkumpul di padang Taman Perumahan Seri Intan di sini.
Tambah beliau, sepanjang dua minggu kempen Streram sentiasa mendampingi pengundi dengan pergi rumah ke rumah serta di tempat umum tanpa mengenal erti penat.
Malah, Streram, katanya, calon terbaik yang diangkat PKR setelah dipersetujui kepimpinan pusat serta seluruh kepimpinan PH.
“Kini saya sudah tolong dia berkempen, dapat tengok dia selesa berdamping dengan orang Melayu, imam masjid dan surau selain pengundi Cina dan juga India.
“Dr. Streram hanya memperkenalkan dirinya dan meraih undi dan yang lain anda yang perlu tentukan sekarang. Pada 13 April ini bangun pagi, bangun awal terus ke pusat undi dan jangan lupa bawa kad pengenalan.
“Masuk saluran jangan jeling atau pandang atau tengok nombor satu hingga tiga. Lihat nombor empat dan terus pangkah undi anda dan pastikan Streram diumumkan sebagai wakil rakyat PH Petang Sabtu ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette