Home Nasional Kerajaan pinda syarat kelayakan permohonan lesen PSV buat OKU

Kerajaan pinda syarat kelayakan permohonan lesen PSV buat OKU

PETALING JAYA – Kementerian Pengangkutan akan meminda syarat kelayakan permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) bagi membenarkan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menjadi pemandu e-hailing.

Ketika ini peraturan semasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang golongan OKU ini daripada mendapatkan lesen PSV, yang akan menjadi syarat wajib untuk pemandu e-hailing bermula 12 Julai ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ketika ini terdapat sekitar 400 pemandu OKU e-hailing dan pindaan syarat itu perlu bagi membolehkan mereka bekerja dan mendapat pendapatan sendiri.

Beliau berkata pihaknya yang berhasrat untuk meminda peraturan ini bagi membolehkan OKU mendaftar sebagai pemandu PSV sedang berusaha menyegerakannya, dan berharap ia dapat dilaksanakan pada bulan Mei ini.

“Ia membabitkan kira-kira 300 sehingga 400 pemandu OKU. Mereka akan diberi keutamaan, diharapkan sebaik sahaja peraturan pada 12 Julai berkuatkuasa, mereka boleh terus memandu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan teknologi pengecaman wajah Grab Malaysia di ibu pejabat Grab Malaysia di Bandar Utama di sini hari ini.

Loke berkata ketika ini terdapat 25 syarikat yang mahu melaksanakan perkhidmatan e-hailing telah memohon lesen pengendali di mana 16 daripadanya lulus dan dua permohonan ditolak manakala lebih 1,000 pemandu mendaftar lesen PSV setakat ini.

Ditanya mengenai terdapat pemandu e-hailing yang menolak peraturan pendaftaran PSV, Loke meminta mereka melihat daripada perspektif yang berbeza dan menegaskan semua pemandu perlu mendaftar dan mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memberi kerjasama menyeluruh.

“Sudah tentu ada sedikit masalah bagi anda untuk pergi kursus, lesen, dan sebagainya, tapi lihat kepada manfaat jangka panjang. Seluruh industri akan dijadikan sah oleh undang-undang dan diselaras, jadi anda ada persekitaran yang ‘secure’ untuk beroperasi.

“Anda hanya perlu lakukan ia sekali sahaja, bukannya kita minta mereka buat setiap tahun, kemudian tahun depan hanya perbaharui sahaja. Tidak kiralah pemandu separuh masa atau sepenuh masa, mereka tetap kena mendaftar e-hailing,” katanya.

Justeru, Loke turut menyeru pemandu e-hailing agar tidak menunggu hingga saat akhir untuk mendaftar lesen PSV mereka.– BERNAMA