Home Nasional Mahkamah tolak permohonan Samirah

Mahkamah tolak permohonan Samirah

Samirah Muzaffar ketika dibawa ke mahkamah pada bulan Mac lalu.

SHAH ALAM- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Samirah Muzaffar yang dituduh membunuh suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan untuk mendapatkan jaminan.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, mahkamah mengambil kira tahap keseriusan kesalahan yang didakwa terhadap Samirah, 44, yang juga membawa hukuman berat iaitu gantung selain kemungkinan saksi kes itu akan diganggu.

Hakim menetapkan 21 Jun ini untuk tarikh sebutan bagi pengurusan kes manakala perbicaraan akan bermula pada 3 September ini.

Pada 12 Mac lalu, Samirah bersama dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, atas pertuduhan membunuh Nazrin, Jun tahun lalu.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.- MalaysiaGazette