Home Politik Manifesto saat akhir berkesan – Dr. Streram

Manifesto saat akhir berkesan – Dr. Streram

Dr. S. Streram melihat seorang warga emas melakukan pemeriksaan mata pada program walkabout di Balai Raya Kampung Siliau, Rantau

RANTAU – Dengan tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hanya berbaki kurang 48 jam, Pakatan Harapan (PH) membuat persiapan mengumumkan manifestonya pada bila-bila masa dari sekarang.

Meskipun ia dilakukan pada saat akhir calonnya Dr. S. Streram berkata, manifesto yang aakn dilancarkannya tu mampu memberi impak besar yang boleh membantu beliau memenangi PRK.

Katanya, manifesto yang mengandungi tujuh perkara pokok kini berada di peringkat akhir draf untuk semakan dan kelulusan pimpinan tertinggi PH.

“Saya baru sahaja memperoleh draf akhir manifesto kami yang sedang disemak dan diteliti intipatinya sebelum dirujuk kepada pertimbangan dan kelulusan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan.

“Seperti saya katakan sebelum ini, ia merangkumi isu lokal dan sudah sedia untuk dimanifestasikan dalam bentuk risalah kepada pengundi di Rantau menjelang hari mengundi,” katanya semasa program walkabout dan pemeriksaan dan rawatan mata di Balai Raya Kampung Siliau, Rantau.

Ditanya sejauh mana keyakinannya manifesto ‘saat akhir’ boleh menarik pengundi, Streram yang juga pakar bius berkata, keraguan itu tidak timbul dalam dirinya.

Menurut beliau, kesemua tujuh perkara pokok yang disenaraikan dalam manifesto itu adalah apa yang sebenarnya telah dan akan diperjuangkan beliau untuk masyarakat Rantau apabila diberi mandat nanti.

“Saya selaku pakar bius turun padang memantau setiap isu dan masalah penduduk di sini dan semuanya sememangnya wujud di sini.

“Lagipun saya bukannya ke sini sejak tiga setengah tahun lalu untuk memberi janji kosong dan mimpi tidak nyata seperti pembangkang.

“Mereka di sini merupakan keluarga saya yang menagih bantuan dan perubahan menyeluruh dalam semua aspek,” jelas beliau.

Beliau yang disoal mengenai pengakuan Anwar Ibrahim bahawa kekalahan PH di Semenyih disebabkan penguni Cina tidak keluar mengundi berkata, senario itu tidak akan berlaku di sRantau kerana pihaknya berusaha untuk mendapatkan semula pengundi di luar kawasan balik mengundi pada Sabtu ini.

“Hasil pemantauan saya menerusi ceramah berkelompok dan walkabout mendekati pengundi dari rumah ke rumah di setiap kampung membuktikan anak-anak muda yang bekerja di perantauan berjanji akan balik pada hujung minggu ini untuk mengundi kami dan yang pastinya 70 peratus bakal balik mengundi kali ini.

“Selain itu pasukan khas jentera PRK kami juga sedang berusaha maksimum dengan henjutan saat akhir untuk menghubungi setiap pengundi yang ada di luar menggunakan data pengundi yang dimiliki untuk memujuk mereka turun menyatakan sokongan pada 13 April ini.

“Kalah ke atau apapun apabila tengok kebanjiran ribuan pengundi dan penduduk Rantau untuk ceramah umum Anwar dan Rafizi Ramli malam tadi, saya yakin kita PH dalam landasan yang terbaik untuk mengejutkan BN dan UMNO kali ini.

“Lagipun semua pengundi di Rantau iaitu Melayu, Cina dan India penting kerana saya calon untuk semua kaum dan untuk mendapatkan peratusan keluar undi yang tinggi, harap mereka akan keluar kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette