Home Ekonomi Pemegang saham FGV mungkin tidak setuju LLA disemak semula

Pemegang saham FGV mungkin tidak setuju LLA disemak semula

KUALA LUMPUR – Para pemegang saham FGV Holdings Bhd. (FGV) mungkin tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menyemak semula Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan Felda sekiranya terdapat peningkatan bayaran.

AllianceDBS Research dalam nota penyelidikannya berkata, kerajaan telah menyatakan harapannya untuk melihat FGV dan Felda meningkatkan urus tadbir yang baik.

Malah dengan pegangan Felda sebanyak 33.6 peratus dalam FGV, kerajaan pastinya tidak mahu mengambil langkah yang boleh menjejaskan syarikat perladangan kelapa sawit terbesar negara itu.

“Semakan semula LLA tersebut masih di peringkat awal, kami tidak fikir ianya akan dilakukan dengan memberi kesan negatif kepada FGV.

“Bagaimanapun, sebarang perjanjian yang akan menyebabkan FGV perlu membuat pembayaran lebih tinggi pastinya tidak mendapat kelulusan pemegang saham,” katanya.

Tambah firma tersebut, Felda perlu membayar ganti rugi kepada FGV sekiranya terma dan syarat di dalam LLA berkenaan dipinda atau perjanjian tersebut ditamatkan.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan mungkin akan melakukan semakan semula LLA sebagai salah satu inisiatif untuk memulihkan semula Felda. – MalaysiaGazette

+ posts