PRK RANTAU – Kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendapatkan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat sehingga membantutkan usul meminda Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Berucap dalam program ramah mesra sempena kempen PRK Rantau, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sekiranya perkara itu berlaku di Jepun, maka pemimpin negara itu akan melakukan harakiri kerana malu dengan rakyat.
“Bak kata kawan saya kat depan ini, saya tak bayar dia tau. Dia kata betul kalau di Jepun memang harakiri (bunuh diri).
“Elok bunuh diri sebelum dibunuh, sebab mereka yakin dengan pindaan Perlembagaan semalam, bagaimana soal hak rakyat Sabah dan Sarawak di dalam
Perjanjian 1963, dicabar,” katanya.
Harakiri amalan membunuh diri masyarakat Jepun yang menjadi satu aspek penting dalam masyarakat feudal Jepun terutama dalamĀ kalangan samurai.
Di negara matahari terbit itu, ritual itu dianggap sebagai cara kematian yang mulia.
Ahmad Zahid berkata demikian di hadapan lebih 500 pengundi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Angsamas, Rantau.
Beliau merujuk kepada RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 yang tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin kerana kerajaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan.
Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, dengan 59 orang berkecuali.
46 Ahli Parlimen membahaskan usul berkenaan yang mengambil masa enam jam.
RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kegagalan PH untuk mendapat undi majoriti adalah disebabkan mereka tidak mengikut saluran yang betul dalam membuat pindaan.
Tambah beliau, sepatutnya PH mengemukakan cadangan itu kepada Dewan Undangan Negeri berkaitan dan perlu mendapat sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Sepatutnya apabila ianya melibatkan Perlembagaan, terutamanya negeri merdeka, DUN di negeri berkenaan hendaklah bersidang dulu.
“Apabila ia menang baru diangkat kepada Yang Dipertua Negeri setelah mendapat perkenan. Barulah Yang Dipertua Negeri boleh bawa ke Parlimen,” katanya lagi. -MalaysiaGazette