RANTAU – Datuk Seri Mohamad Hasan mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat satu majlis di Sendayan yang didakwa memberi rasuah kepada pengundi.
Ujarnya, pihak lawan cuba merasuah pengundi dengan sumbangan Aidilfitri yang dibuat di sebuah kelab dekat Bandar Sri Sendayan semalam.
“Banyak kempen-kempen pihak sebelah sana (PH) yang kalau diperhalusi betul-betul terang-terangan langar peraturan pilihanraya, saya minta SPR ambil tindakan segera terhadap laporan polis yang dilakukan.
“Semalam hampir-hampir sahaja dibuat di Sebdayan untuk berikan duit raya kepada pengundi Sendayan (DUN Rantau), walaupun kuasa belum dapat lagi tapi duit raya sudah diberi sangat cekap, saya jangkakan ini sabagai salah satu rasuah pilihanraya, apabila kita buat laporan polis, maka mereka batalkan,” katanya kepada pemberita di Bilik Getakan Utama BN, bagi PRK DUN Rantau.
Calon Barisan Nasional (BN) itu merujuk kepada laporan MalaysiaGazette bahawa terdapat satu majlis penyerahan cek pendahuluan sempena Aidilfitri di sebuah kelab di Bandar Sri Sendayan di bawah DUN Rantau semalam.
Program tersebut dijadual dihadiri exco kerajaan Negeri Sembilan sebagai tetamu jemputan untuk menyampaikan cek sumbangan itu, namun mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian.
Menurut sumber ditemui yang enggan dinamakan, program yang sepatutnya dihadiri lebih 100 orang itu dibatalkan kerana terdapat laporan polis daripada penyokong UMNO.
Sementara itu, pihak penganjur majlis tidak membenarkan media membuat liputan sambil memberitahu program itu pada awalnya dibuat secara tertutup.
“Kami tidak boleh buat apa-apa penjelasan, pembatalan ini mungkin sebab pilihanraya,”katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, banyak lagi program-program anjuran Pakatan Harapan melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
“Selain daripada itu, kita dapat tahu ada aktiviti tukar minyak hitam,baiki motor, bas uh kereta percuma, buat majlis makan besar-besaran yang dihadiri Anwar Ibrahim, pemimpin PH datang,
“Saya harap sebagai parti kerajaan kalaupun sudah terdesak sangat buatlah kempen yang tidak langgar peraturan,” katanya.
Katanya, SPR sepatutnya berlaku adil menghentikan program anjuran PH yang secara terang-terangan melangar Akta Pilihanraya.
“Saya harap pemantau pilihanraya yang dilantik jalankan tugas dengan baik, banyak benda-benda yang kita tahu, terang-terang menyalahi peraturan pilihanraya.
“Pemantau pilihanraya yang dilantik sepatutnya hentikan program, kita bukan cakap soal bidang kuasa SPR untuk mendakwa tapi tugas yang diberikan untuk memantau kerana meraka boleh bertindak hentikan program yang menyalahi peraturan,” katanya. -MalaysiaGazette