KUALA LUMPUR – Sempena kedatangan Ramadan kali ini, The Love For Malaysia@Matic (The Love) yang sebelum ini dikenali sebagai Wow KL dan Restoran Saloma memilih tema Cinta Rasa 13 Negeri bagi menawarkan hidangan bufet gabungan masakan tradisional terkenal dari pelbagai negeri.
Buat julung kalinya, The Love yang mula beroperasi sejak awal Januari tahun ini oleh pengurusan baharu tampil menghidangkan lebih daripada 150 hidangan masakan tradisi di setiap negeri dengan menyediakan seleksi juadah yang enak bagi memberi kepuasan berganda kepada pengunjung.
Antara menu istimewa adalah Kambing Bakar, Ayam Tempayan (Terengganu), Ayam Masak Daun Kaduk (Selangor), Rendang Tok (Perak), Ikan Tenggiri Asam Pedas (Melaka), Daging Salai Masak Cili Api ( Negeri Sembilan), Kambing Kuzi (Kelantan), Siakap Bakar Sambal Air Asam (Pahang).
Menjadikan Kambing Bakar sebagai tarikan utama, dagingnya diperap dengan rempah ratus segar yang membuatkan rasa kambing cukup beraroma sebaik dibakar.
Apatah lagi disajikan dengan pelbagai pilihan sos antaranya sambal kerisik, sos percik, sos lada hitam, sos cendawan, sos barbeku, sos pudina dan sos mustard.
Selain hidangan bufet, turut diketengahkan masakan gerai dari negeri ke negeri. Pengunjung pasti terasa berada di bazar Ramadan namun jangan risau kerana tidak perlu bersesak-sesak dan boleh menjamu selera dengan tenang di ruang berhawa dingin.
Turut menggamit selera, menu Kuey Teow Kerang dimasak secara terus dan pengunjung boleh makan panas-panas bersama cilik jeruk.
Tidak ketinggalan Nasi Goreng Laksamana dan pecal yang menjadi menu wajib di bulan Ramadan selain hidangan ikan bakar setanding Tanjung Lumpur.
Pilih apa sahaja jenis ikan iaitu ikan cencaru, pari, kembung dan selar antara ikan pilihan yang menjanjikan keenakkan luar biasa sedapnya.
Dicicah pula dengan air asam, sambal kicap, sambal cili cuka dan sambal serai.
Jika pengujung teringin murtabak, roti canai, calca nahkani dan chutney cawang Padang Kota, tidak perlu bersusah payah ke Pulau Pinang sebab segalanya terhidang di sini.
Tidak lupa juga, Ayam Masak Daun Kaduk antara masakan istimewa orang Selangor yang mempunyai keunikan tersendiri.
Beralih ke pencuci mulut, berbuka puasa tidak akan lengkap tanpa kuih-muih tradisonal.
Lengkap juadah dengan keenakkan rasa tapai ubi, tapai pulut, wajik, serimuka, qasidah, kuih laps, pulut inti, buah Melaka, akok Kelantan, keria, lompang, tepung pelita, koci dan tepung talam.
Sementara itu, rezeki Ramadan pertama kali The Love turut dikongsi bersama 150 orang tetamu khas yang terdiri daripada anak-anak dari rumah kebajikan, anak-anak yatim, golongan asnaf, warga emas dan anak-anak istimewa yang datang berbuka puasa setiap hari.
Untuk tempahan orang ramai boleh hubungi 03-21641139. – MalaysiaGazette