Home Ekonomi FGV setuju semak semula LLA

FGV setuju semak semula LLA

KUALA LUMPUR- FGV Holdings Bhd. (FGV) bersetuju dengan cadangan untuk menyemak semula terma dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan Felda.

Menurut syarikat perladangan sawit terbesar negara itu, perkara tersebut telah kerap dibangkitkan sejak tiga tahun lalu sehingga menimbulkan kebimbangan kepada pemegang-pemegang saham mereka.

Di bawah terma semasa LLA, FGV perlu membayar pajakan tetap kira-kira RM250 juta setahun untuk tempoh selama 99 tahun bermula 2012.

Katanya, bayaran tersebut perlu dibayar tanpa mengira pergerakan harga semasa minyak sawit mentah (MSM), yang mana ketika rundingan LLA dibuat pada 2012, purata harga MSM adalah RM2,843 setan metrik (MT) manakala harga MSM pada 10 April pula adalah RM2,047/MT.

“FGV juga komited untuk membayar Felda sebanyak 15 peratus daripada keuntungan hasil ladang LLA.

“FGV telah memenuhi semua tanggung jawab di bawah LLA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, sebagai sebuah syarikat senaraian awam, FGV perlu mendapatkan kelulusan pemegang saham sekiranya mahu melakukan sebarang pindaan kepada LLA.

Dalam pada itu, FGV di bawah pengurusan baharu katanya, sedang berada di landasan betul untuk mencapai pertumbuhan mapan hasil daripada langkah-langkah positif yang telah diambil menerusi pelan transformasi sejak Oktober 2018.- MalaysiaGazette