Home Nasional Pahang gembira projek ECRL diteruskan

Pahang gembira projek ECRL diteruskan

DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Kerajaan negeri gembira dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata ini kerana di Pahang, kemajuan kerja projek tersebut berada antara 13 hingga 14 peratus sebelum dihentikan tahun lalu, yang disifatkan sebagai ‘membazir’ jika ia tidak diteruskan.

“Kerja-kerja pengambilan balik tanah yang melibatkan tanah persendirian telah pun berada di peringkat pejabat Penasihat Undang-Undang negeri yang menguruskannya.

“Selain itu, ia dapat mengembalikan peluang pekerjaan dan apabila siap, dapat memberi limpahan ekonomi yang besar kepada Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata berdasarkan rekod laluan asal, luas tanah yang terlibat ialah 1,394.4 hektar merentasi Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, hanya 385 hektar merupakan tanah milik kerajaan manakala bakinya ialah tanah milik persendirian.

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan bahawa projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Wakil Khas Pedana Menteri Tun Daim Zainuddin pula dilaporkan berkata jajaran baharu ECRL ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Ini berbeza daripada cadangan asal yang menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.- BERNAMA