KUALA LUMPUR- Penjimatan sebanyak RM21.5 bilion untuk projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) cukup untuk membina dua lagi Menara Berkembar Petronas, kata Tun Daim Zainuddin.
Daim ketika sidang media bersama media Malaysia di Beijing memberitahu, jajaran baharu itu adalah sepanjang 648 kilometer atau 40 kilometer lebih pendek berbanding pelan asal.
Tambahnya, tanda harga baharu itu telah ditetapkan pada RM44 bilion atau 32.8 peratus lebih rendah berbanding RM66 bilion sebelum ini.
Utusan khas Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai perkara perkara tersebut.
Ia akan didedahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu sidang media Isnin ini, katanya seperti yang dilaporkan The Star.
Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan terdapat beberapa hentian yang tidak dapat diteruskan antaranya Gombak.
“Kos juga dikurangkan daripada RM98 juta per km kepada RM68 juta per km dan terdapat beberapa hentian tidak dapat diteruskan antaranya Gombak.
“Laluan ECRL akan bermula dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang,” kata Daim.- MalaysiaGazette
Artikel berkenaan: Daim lebih layak dari Guan Eng
Berdasarkan laporan terdahulu, Fasa 1 projek berkenaan meliputi jajaran sejauh 688 kilometer dari Lembah Kelang ke Kuantan manakala Fasa 2 akan melewati laluan Kuantan ke Kuala Terengganu.
Manakala Fasa 3 akan menyaksikan landasan rel tersebut menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kota Bharu dan Tumpat.- MalaysiaGazette