KUALA LUMPUR- Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan Perjanjian Operasi (OA) dengan MAHB bagi mengendali, mengurus dan menyelenggara 39 buah lapangan terbang di bawah kendaliannya sehingga 11 Februari 2069.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, berdasarkan keputusan tersebut, perjanjian sedia; OA For KL International Airport (OA For KLIA) dan OA For Designated Airports yang telah ditandatangani pada 12 Februari 2009 akan dibatalkan.
Ianya akan digantikan dengan empat perjanjian baharu iaitu OA For KLIA, OA For Designated Airports in Peninsular Malaysia, OA For Sabah Airports dan OA For Sarawak Airports.
Kesemua OA itu akan dimuktamadkan dan ditandatangani di antara kerajaan dan MAHB berdasarkan prinsip-prinsip asas yang ditetapkan oleh kerajaan, katanya.
Sejajar dengan itu, Perjanjian Pajakan baharu yang bersifat co-terminus (dua perjanjian atau lebih) dengan OA juga akan turut ditandatangani.
“Kelulusan bagi cadangan pelanjutan tempoh OA ini adalah bagi membolehkan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial yang lebih berdaya maju dan mampan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan kerajaan melalui mekanisme perkongsian hasil ke atas tanah milik kami yang dibangunkan oleh MAHB.
“Selain itu, kerajaan juga akan menerima bayaran cukai yang lebih tinggi serta menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat Malaysia,” katanya
Tambah Kementerian Pengangkutan, kerangka OA yang baharu akan dapat memberikan fleksibiliti kepada kerajaan dan MAHB dalam penyediaan peruntukan projek pembangunan lapangan terbang melalui beberapa model pembiayaan seperti Asas Aset Dikawal (RAB), REIT Lapangan Terbang, Dana Pembangunan Lapangan Terbang (ADF) atau mekanisme lain yang akan ditetapkan oleh kerajaan kelak.
“Ini akan merancakkan pembangunan lapangan terbang melalui pembiayaan dengan menggunakan model-model kewangan yang berbeza bagi menarik pelabur dari pasaran kewangan, tertakluk kepada persetujuan kerajaan bila mana sesuatu pembiayaan modal tersebut telah dipersetujui untuk dibiayai melalui pembiayaan swasta,” katanya lagi.
Tambah Kementerian Pengangkutan, kerangka perjanjian OA baharu dengan tempoh lebih panjang ini dapat membuka banyak peluang pelaburan swasta dalam aktiviti pembangunan lapangan terbang negara, seterusnya berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui industri pelancongan dan pelaburan asing.- MalaysiaGazette