Home Nasional Rakyat kena tipu jika menteri gagal laksana tanggungjawab

Rakyat kena tipu jika menteri gagal laksana tanggungjawab

Gerakan
Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau (tengah) diiringi Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong (kiri) dan Setiausaha Agong, Mak Kah Keong (kanan) melihat laporan penilaian prestasi kerajaan Pakatan Harapan bagi suku pertama selepas pada sidang media di Pejabat PGRM, Cheras, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) yang gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya perlu meletak jawatan untuk diganti dengan orang lain.

Langkah itu bertujuan bagi mengelak rakyat memandang negatif terhadap kredibiliti menteri-menteri terbabit, kata Presiden parti Gerakan, Datuk Dominic Lau.

Menurut beliau, perkara itu mempunyai kaitan dengan manifesto yang diumumkan ketika mereka menjadi calon sewaktu hendak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Manifesto mereka boleh umum masa pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Tapi bila kamu tak buat, bermakna rakyat kena tipulah.

“Apa-apa manifesto yang kamu kata dulu mesti dijalankan. Kalau tak lakukan, kamu mesti bertanggungjawab. Tanggungjawab itu termasuk meletak jawatan sebagai menteri,” katanya pada sidang media membentangkan laporan prestasi kerajaan PH dari Januari hingga Mac 2019 di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu Timbalan Pengerusi, Oh Tong Keong dan Setiausaha Agung, Mak Kah Keong.

Mengulas lanjut Dominic berkata, kerajaan sepatutnya lebih awal membuat satu sistem untuk menilai prestasi kerja menteri-menteri berkenaan.

Katanya, perkara itu sangat perlu dilakukan sebagai satu cara memantau apa yang dilakukan oleh menteri-menteri.

“Jangan nanti sudah hujung tahun baru nak buat. Masa tidak boleh diundurkan. Sebab itu kami membuat satu garis panduan bagi menunjukkan prestasi kerajaan setiap suku tahun,” ujarnya.

Tambah beliau, PH perlu menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan bukannya hanya mengumumkan sesuatu ketika hendak berdepan dengan pilihan raya sahaja.

Dalam pada itu Dominic berkata, kerajaan PH dilihat masih belum gagal dalam melaksanakan dasar dan keputusan yang diumumkan sejak mengambil alih pemerintahan pada Mei tahun lalu.

Katanya, ia dilihat berdasarkan pemantauan daripada 63 dasar dan keputusan dibuat kerajaan, yang mana 31.7 peratus pada tahap positif dan 22.2 peratus negatif.

Jelasnya, 43 peratus lagi adalah campuran positif dan negatif, iaitu ada rakyat meletakkan dasar atau keputusan itu pada tahap bersetuju atau tidak. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Baru sekarang nak tanya parti memerintah pasei janji manifesto sedangkan kamu wakili 79 kerusi mp dan 167 kerusi adun. Tak malu ke kamu menang atas parti kamu patut kamu mesti juga tunai janji untuk kawasan yg kamu wakili. Apa yg pakatan janji adalah kepada penyokong mereka yg memilih wakil pakatan dan tidak mewakili parti penyamun dan pencuri yg juga menjadi wakil rakyat. Kenapa pula tak sokong pakatan dan menang wakili kawasan kamu pandai nak minta janji manifesto parti lain tunai janji. Kamu selama 13 kali pru ada rakyat pembangkang masa tu kata kamu penipu sedangkan banyak projek dan janji terbengkalai dan tidak dilaksanakan mengikut masa. Dengan manifesto kamu dulu minta berbagai projek hospital, bomba, jambatan dsbnya banyak yg tidak tertunai dan dilaksanakan. . Semua lebuh raya yg kamu buat semua kene tol. Mcm mana dgn sahabat kamu pas dan umno yg memerintah kltan, terengganu, perlis, pahang dan sarawak. Jgn suruh parti pakatan je tunai janji tapi kamu sendiri pun mengelat dan lebih dahsat lagi menipu pengundi selama 13 kali pru selama 60 tahun. Berbeza dgn parti pakatan yg sedikit demi sedikit berusaha untuk menunaikan janji seberapa baik.

Comments are closed.