Home Nasional Rapid Pengerang terbakar, dua cedera

Rapid Pengerang terbakar, dua cedera

Api menjulang tinggi di Kompleks Bersepadu Pengerang yang terbakar pada awal pagi tad. foto FB

KUALA LUMPUR – Dua orang disahkan cedera dalam insiden letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Petrokimia (Rapid) Pengerang, Johor awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua mangsa berkenaan ketika ini dirawat di Pusat Kecemasan Perubatan Rapid Pengerang sebagai pesakit luar.

Beliau berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada pukul 1.20 pagi membabitkan kebakaran di salah satu lot tapak projek.

“Pasukan Emergency Respon Team (ERT) Petronas Rapid Pengerang telah diaktifkan ke lokasi kejadian dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 2.15 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahsmon berkata siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian akan dilakukan bersama Jawatankuasa Keselamatan Dan Sosial (JAKSAS) Negeri Johor, Jawatankuasa Bencana Peringkat Daerah dan pihak Pengurusan keselamatan Petronas Rapid Pengerang.

Sebelum itu, Petronas dalam satu kenyataan mengesahkan berlaku letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang.

Menurut syarikat itu, keadaan di kawasan itu adalah terkawal dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Kebakaran itu dikatakan telah menyebabkan letupan dan gegaran yang sangat kuat hingga ke Pasir Gudang dan Masai. MalaysiaGazette