KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hassan dijangka memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang berlangsung esok.
Ilham Centre yang menjalankan kajian berkata, calon Pakatan Harapan (PH) sukar untuk mendapatkan undi Melayu dan bergelut mempertahankan sokongan bukan Melayu terutamanya pengundi India.
Menurutnya, Mohamad Hassan atau Tok Mad ternyata unggul dan diterima oleh semua segmen pengundi termasuk pengundi India dan Cina.
Trek rekod beliau sebagai Menteri Besar dan ADUN Rantau selama tiga penggal serta anak jati Rantau memberi kelebihan besar dalam kempen pilihan raya kecil ini.
Ilham Centre yang menjalankan kajian dengan membabitkan 396 orang responden berkata, dapatan menunjukkan seramai 87.4 peratus responden bersetuju dengan faktor ini.
Pendekatan Tok Mad yang mudah mesra, kerap turun padang bertemu rakyat, merendah diri dan prihatin dengan kebajikan rakyat menambat hati pengundi di sini.
Responden juga bersetuju bahawa Tok Mad mempunyai kredibiliti yang lebih tinggi sebanyak 81.6 peratus berbanding calon PH, Dr S Streram 17.7 peratus dan lain-lain calon.
Dr S Streram pula ditanggapi oleh responden sebagai bukan anak tempatan dan tidak dikenali oleh penduduk di sini.
Sebaliknya, Ketua Cabang PKR Rembau, R. Tanggam lebih popular dan dikenali oleh pengundi.
Malah, kajian secara kumulatif dan kuantitatif turut mendapati, berasaskan soalan yang ditanya dalam soal selidik, terdapat peralihan undi yang dijangka berlaku daripada PH kepada BN sebanyak 24.5 peratus.
Analisis perbandingan ini adalah menggunakan ‘scoresheet’ P131 Rembau bagi DUN Rantau.
Peralihan undi ini berlaku disebabkan faktor kredibiliti Tok Mad (81.6 peratus), isu kos sara hidup (66.7 peratus), kegagalan PH menunaikan janji manifesto (65.4 peratus), prestasi kerajaan negeri yang tidak memuaskan (50.8 peratus), serta pengundi Melayu mempersepsi PH gagal membela Melayu-Islam (85.6 peratus).
Katanya, walaupun keputusan menamakan Streram sebagai calon PH dilihat boleh menarik undi daripada segmen India yang mewakili 27 peratus komposisi pengundi, namun dapatan menunjukkan sebaliknya.
Hanya 46.6 peratus sahaja yang telah memberi komitmen untuk mengundi Streram, selebihnya cenderung untuk mengundi BN dan belum membuat keputusan.
Selepas pertukaran kerajaan, segmen kebajikan pengundi India yang dahulunya majoriti mengundi PH nampaknya gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan.
Seakan wujud kekecewaan segmen pengundi India terhadap kerajaan khususnya yang melibatkan pembelaan terhadap tahap ekonomi dan kebajikan mereka.
Ketiadaan pemimpin India yang wibawa di dalam kerajaan yang mampu ke hadapan membela nasib mereka menjadi punca utama berlalu perubahan ketara kepada pola pengundian dalam kalangan pengundi India di Dun Rantau dalam pilihan raya kecil kali ini.
Menurut kajian itu, meskipun telah melalui beberapa siri pilihanraya kecil, jentera PH masih lagi dilihat terpisah dan tidak dikoordinasi sebagai sebuah pakatan antara PKR, Bersatu, Amanah dan DAP.
Mereka bergerak mengikut jentera parti masing-masing dan tiada penyelarasan yang tersusun.
Jentera PKR lebih dominan dan penglibatan jentera parti lain dilihat sangat minimum, menggambarkan struktur jentera PH masih lagi kabur di mata akar umbi.
Kempen PH nampaknya terlalu bergantung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memobilisasi gerakan kempen di sini.
Selain itu, siri-siri kempen pimpinan PH yang lain tidak memberikan impak besar kepada pengundi, hanya strategi ceramah kelompok sedikit membantu untuk menarik pengundi tetapi ia masih tidak mencukupi.
Ini ditambah pula jentera PH banyak digerakkan oleh jentera luar berbanding jentera BN yang lebih banyak digerakkan oleh orang tempatan yang diketuai oleh Tok Mad sendiri.
Jentera BN dilihat lebih fokus dan sistematik kepada kumpulan sasaran sepanjang kempen berjalan. PH pula terlalu menumpukan isu-isu pra pilihanraya umum ke-14 dan tidak dilihat sebagai sebuah parti Kerajaan.
Persaingan saat akhir masih terbuka namun ia kelihatan laluan getir buat PH.
Kemenangan BN seolah telah terjamin dalam pilihan raya kecil ini dan untuk kekal bersaing, PH memerlukan strategi ampuh bagi mengekang kemaraan BN.
Kurang 48 jam berbaki, penilaian kempen di Rantau tertumpu sejauh mana PH dapat mengekalkan undi India dan Cina yang diperolehi dalam pilihanraya lepas di samping mencuri sedikit undi Melayu sekurang-kurangnya 20 peratus.
Jika semua ini gagal didapati, BN bakal keluar sebagai pemenang dengan majoriti selesa. – MalaysiaGazette