GOPENG – Seramai 170 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hari ini meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan, yang hilang sejak 23 Mac lepas, menerusi Operasi Khas Op Kesan.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata daripada jumlah itu, seramai 15 pegawai dan anggota serta dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman turut serta dalam operasi yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Yahya Abd Rahman.
“Operasi hari ini diperluaskan kepada 10 kilometer (km) persegi melibatkan kawasan baharu operasi SAR yang belum pernah dicari oleh pasukan penyelamat sebelum ini dan dijangka operasi ini akan dilakukan sehingga petang ini,” katanya kepada pemberita di pos kawalan operasi di Kampung Pintu Padang di sini hari ini.
Razarudin berkata operasi hari ini turut mendapat bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sebelum ini, kira-kira 800 pasukan penyelamat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung menyertai operasi bersepadu besar-besaran sebelum pihak polis menghentikan secara rasmi operasi pada 30 Mac lalu.
Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak masih meneruskan operasi SAR mencari mangsa yang berusia 29 tahun itu sehingga ke hari ini dalam skala yang kecil.
Mohammad Ashraf dari Muar, Johor yang bekerja sebagai juruteknologi makmal di Klinik Kesihatan Muar bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km pada 23 Mac dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama.
Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul 1.09 pagi, hari berikutnya (24 Mac).
— BERNAMA
Artikel berkaitan: