SEREMBAN – Pelakon dan pengarah filem terkenal, Ellie Suriati menarik perhatian media apabila gigih membantu pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini.
Lensa MalaysiaGazette yang merakam aksi Ellie sejak jam 7 pagi tadi, tidak putus-putus membantu pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, tempat sama dua calon iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan dan R. Malar membuang undi hari ini.
Dari warga emas yang berkerusi roda sehinggalah yang bertongkat semuanya dibantu beliau untuk sampai ke pusat pengundian.
“Ibu saya baru meninggal tahun lepas, mak saya stroke tak boleh bercakap pakai susu melalui perut. Saya tahu perasaan macam mana nak uruskan orang tua.
“Saya tidak sampai ke dalam untuk hantar pengundi. Awal-awal pagi saya sudah ada kat sini. Saya cuma hantar sampai depan pintu sekolah sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Pelakon, Elly Suriati menolong pengundi warga emas berkerusi roda di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua, Rantau, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 13 APRIL 2019.Ibunya, Noriah Mat Akhir meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada 11 September tahun lalu.
Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriati Omar berusia 48 tahun itu, sering kelihatan di PRK antaranya Cameron Highlands, Semenyih dan terbaharu di Rantau.
Namun, ini kali pertama Jawatankuasa Gelombang Rakyat itu dilihat berbuat demikan bagi memudahkan perjalanan pengundi khususnya warga emas. – MalaysiaGazette