RANTAU – Dr. S. Streram tidak mengharapkan apa-apa melainkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini untuk dijadikan hadiah kepada isterinya.
Calon Pakatan Harapan itu berkata, kemenangan adalah satu satunya hadiah kejutan yang dirancang beliau pada malam ini untuk diberikan kepada isterinya, R. Pushpagandy yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka ke-34 hari ini.
Streram hadir ke Pusat Daerah Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Rantau Bandar Ekar tepat 8.25 pagi tadi.
Beliau tidak diiringi isterinya sempat berbual dengan para pengundi yang menunggu seawal 7.45 pagi lagi sebelum proses pengundian dibuka tepat jam 8 pagi.
Streram mengundi di tempat yang sama tepat 8.35 pagi tadi.
Bercakap kepada pemberita, Steram berkata, hari ini merupakan ulang tahun perkahwinannya dan beliau rasa istimewa bukan sahaja sebagai suami kepad isteri kesayangannya tetapi juga selaku calon nombor 4 di atas kertas undi.
“Saya harapkan semua pengundi di Rantau keluar mengundi beramai-ramai dan bantu saya untuk menang kerusi berkenaan kali ini.
“Hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan ke-34 bagi kami… isteri bagaimanapun tidak datang bersama saya pagi ini,” katanya.
Beliau turut berkongsi cerita bahawa bukan sahaja nombor 4 tertera pada kertas undinya, malah beliau juga lahir pada tanggal 4.
“Tanggal 13 (hari ini) pun, (ada) nombor 4 hari perkahwinan sudah pasti akan membawa tuah,” katanya.
Ditanya apakah tindakan pertama yang akan dilakukan pada malam ini jika beliau menang, pakar bius itu berkata, dia mahu bertemu pengundi dan mengucapkan terima kasih.
“Mendapat kerusi ini selepas 61 adalah cabaran besar,” tegasnya lagi.
Setakat berita ini ditulis, proses pengundian di SJKT Rantau berjalan lancar dengan kebanyakan warga emas sudah mula mengundi di PDM di sini yang mempunyai pengundi berdaftar ketiga tertinggi iaitu seramai 2, 158 orang.
Terdapat lima saluran peti undi dibuka termasuk saluran satu dan dua dikhususkan untuk warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU). – MalaysiaGazette