KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengingatkan hospital dan klinik swasta supaya membeli stok bekalan vaksin daripada pembekal-pembekal yang berlesen sahaja.
Mereka juga diingatkan tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan vaksin dengan harga yang lebih murah daripada harga pembekal yang berlesen.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan amaran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai penemuan vaksin Mencevax ACWY yang dipalsukan di Republik Niger.
Vaksin Mencevax ACWY digunakan untuk mencegah Meningitis Type A, C, W dan Y.
Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semakan Vaccine Lot Release mendapati vaksin Mencevax ACWY dengan nombor kelompok yang dinyatakan dalam kenyataan amaran tersebut tidak pernah diimport untuk kegunaan rakyat Malaysia.
Kali terakhir vaksin Mencevax ACWY diimport oleh Malaysia adalah pada Julai 2017.
“KKM memandang serius isu vaksin yang dipalsukan. Pemeriksaan dijalankan dari masa ke masa untuk memastikan tidak ada produk vaksin yang dipalsukan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bermula 1 Januari 2015, KKM elah mensyaratkan Vaccine Lot Release dijalankan sebelum vaksin yang diimport dibenarkan untuk dipasarkan.
Aktiviti ini adalah penting bagi memastikan produk vaksin di pasaran adalah berkualiti, selamat, dan berkesan. – MalaysiaGazette