KUALA LUMPUR – Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan, dipacu oleh prospek kukuh bagi komoditi itu, kata peniaga.
Peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies, Jim Teh, berkata, harga pula dijangka antara RM2,100 dan RM2,200 satu tan, memandangkan permintaan mungkin meningkat berasaskan pengumuman positif daripada rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan mengadakan sidang akhbar di Putrajaya pada Isnin mengenai maklumat terperinci perjanjian ECRL yang dimuktamadkan.
Menurut Tun Daim Zainuddin, yang menjadi Wakil Khas Perdana Menteri untuk rundingan itu, Malaysia dapat mengurangkan kos projek ECRL sebanyak RM21.5 bilion.
Teh memberitahu Bernama bahawa peniaga sedang menunggu berita mengenai sama ada projek itu akan berasaskan perdagangan barter, iaitu, Malaysia akan membayar kos ECRL menerusi perdagangan minyak sawit dengan China, atau sebaliknya.
Beliau berkata komoditi itu juga mungkin disokong oleh peningkatan permintaan memandangkan Ramadan akan menjelang di samping stok minyak sawit yang lebih rendah pada Mac berdasarkan laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia minggu ini.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, bulan semerta April 2019 susut RM91 kepada RM2,038 satu tan, Mei 2019 merosot RM93 kepada RM2,109 satu tan, Jun 2019 kurang RM62 kepada RM2,162 satu tan manakala Julai 2019 turun RM53 kepada RM2,184 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 234,127 lot daripada 220,189 lot manakala minat terbuka berkurangan kepada 271,307 kontrak daripada 267,620 kontrak.
Di pasaran fizikal, Selatan April naik RM60 kepada RM2,100 satu tan. – MalaysiaGazette