PRK RANTAU – Baru dua jam proses pengundian di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berlangsung, insiden perang mulut dan raih undi mula mengambil tempat.
Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, penyokong kedua-dua parti, antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mula melancarkan ‘perang mulut’ dan meraih undi.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati lebih 100 penyokong BN dan PH berkumpul di sepanjang jalan raya Pekan Rantau hampir iaitu 100 meter daripada pusat mengundi di sekolah tersebut.
Kedua-dua kumpulan penyokong berbalas laungan dan berteriak sehingga menimbulkan suasana tegang.
“Hancur BN, hancur Tok Mat, undi Pakatan.
“Pakatan hancing, tolak pakatan, undi Tok Mat, Undi BN,” kedengaran dari pusat pengundian.
Masing-maisng juga cuba memujuk pengundi supaya memilih Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili BN dan Dr S Streram bagi Pakatan Harapan sambil membawa bendera parti.
Turut kelihtan penyokong Pas yang menjadi perayu undi kepada calon BN.
Jalan utama dari Mambau menuju pekan Rantau sesak teruk apabila pemandu dan pembonceng motosikal bertindak memperlahankan kenderaan bagi melihat pertembungan kempen dua parti itu. -MalaysiaGazette