
KUALA LUMPUR – Polis sudah menerima 91 laporan yang dibuat dari seluruh negara berhubung penghinaan pemilik Facebook Sabah-Sarawak Merdeka terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Jumlah laporan itu setakat semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Mohamad Fuzi menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi untuk membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh menganggu-gugat ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette