KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menganjurkan program Reformasi Peladang 2019 selama dua hari bermula hari ini di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Ramun, Kota Tinggi, Johor.
Dalam satu kenyataan Nafas berkata, objektif program itu adalah bagi mengeratkan hubungan Nafas dengan ahli Peladang khususnya bagi penduduk setempat yang melibatkan kerjasama antara Nafas, LPP, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta Pengurusan dan Majlis Pembangunan Komuniti Kampung Felda Bukit Ramun.
Dianggarkan lebih 1,000 pengunjung akan menghadiri program yang akan berakhir esok.
“Para pengunjung jangan lepaskan peluang menyertai pertandingan serta memenangi pelbagai hadiah menarik serta cabutan bertuah,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, turut diadakan kursus fertigasi cili dan rock melon, pertandingan memancing, kursus pemasaran online serta pertandingan nostalgia desa iaitu pertandingan dam haji, congkak dan sukaneka rakyat.
Para pengunjung juga dapat bersama-sama dalam program kerohanian, Santai Malam bersama selebriti jemputan Zul Handyblack yang turut diadakan malam ini.
Kata Nafas lagi, bagi kanak-kanak yang hadir jangan pula melepaskan peluang menyertai aktiviti interaktif hands on, Agrokids yang akan diadakan esok.
Selain itu, turut diadakan pertandingan Agrochef yang akan dimeriahkan dengan penampilan Chef Naem, Juadah Bonda dan Bola Selebriti. – MalaysiaGazette