SENDAYAN – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Dr Streram 5,887 undi hasil kiraan kesemua 56 peti undi.
Keputusan tidak rasmi menyaksikan Mohamad, 62, berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Streram, 64, dengan majoriti 4,510 undi.
Manakala Mohd Nor dan Malarvizhi masing-masing hanya mendapat 66 dan 67 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Mohamad menang tanpa bertanding selepas Dr Streram gagal menyerahkan borang pencalonan pada 28 April, tahun lalu.
Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 bagi membatalkan keputusan SPR mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang DUN Rantau.
Ini kali keempat Mohamad bertanding di DUN Rantau dan gabungan PH tidak pernah memenangi kerusi ini.
Untuk rekod, ini PRK ketujuh selepas PRK Sungai Kandis (4 Ogos tahun lepas); kerusi-kerusi negeri Balakong dan Seri Setia (8 Sept tahun lepas); kerusi Parlimen Port Dickson (13 Okt tahun lepas); kerusi Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) dan kerusi negeri Semenyih (2 Mac). -MalaysiaGazette