KUALA LUMPUR – Wanita UMNO mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya meneliti semula undang-undang sedia ada bagi tujuan mengekang perbuatan menghina institusi diraja.
Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, undang-undang khas itu perlu digubal segera susulan beberapa insiden melibatkan pengguna media sosial yang memuat naik status, gambar serta komen menghina institusi Raja-Raja Melayu.
Menurut beliau, peruntukan dalam Akta Hasutan yang sedia ada perlu diteliti dan diperkukuhkan lagi bagi mengekang penghinaan terhadap raja berleluasa.
“Kita tidak mahu penularan budaya menghina institusi raja dalam kalangan pihak tertentu akhirnya menjadi virus dan rakyat terus dihasut membenci Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau mengulas kes penghinaan pemilik akaun Facebook Sabah-Sarawak Merdeka yang secara biadap, berani dan terbuka telah menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Jelas Noraini, institusi raja mempunyai peranan dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini serta mendokong prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Artikel berkaitan:PDRM terima 91 laporan hina Agong
Perbuatan Sabah-Sarawak Merdeka hina Agong melampau – Muhyiddin
Hina Agong, polis diminta bertindak ke atas pemilik FB Sabah-Sarawak Merdeka
Katanya, kerajaan boleh menjadikan Thailand sebagai contoh dalam mengambil tindakan terhadap individu-individu yang menghina institusi beraja dengan undang-undang Les Majeste seperti yang diamalkan di negara berkenaan.
Hanya dengan hukuman yang tegas dan setimpal, dapat menjadi pengajaran agar perkara itu tidak berulang di masa depan, ujarnya. – MalaysiaGazette