
KUALA LUMPUR – Malaysia akan menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesat jika Projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) diuruskan dengan baik.
Dalam masa yang sama ianya juga menurut, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob akan merancakkan ekonomi negeri itu khususnya dengan memberikan peluang pekerjaan yang banyak menerusi bidang pembinaan dan pengangkutan.
“Pihak Kerajaan Negeri Kelantan melihat keputusan ini akan memberi impak yang besar kepada majoriti rakyat Kelantan khususnya dalam membuka peluang pekerjaan menerusi pelbagai bidang yang berkaitan dengan pembinaan dan pengangkutan.
“Ia juga merupakan langkah positif dalam merancakkan tempo ekonomi negeri dengan adanya kemudahan transportasi yang lebih efisien dan mampu menguruskan transaksi barangan yang bervariasi serta berskala besar. Secara langsung ia akan merubah landskap keusahawanan menjadi lebih kondusif dan kompetetif untuk semua warga Malaysia.
“Seandainya kewujudan ECRL ini diurus dengan baik dan mengikuti piawaian sebenar, ini akan memberi Malaysia satu lagi fasiliti bertaraf antarabangsa yang akan memacu negara ini menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesat setanding dengan negara maju yang lain,” katanya menerusi kenyataan.
Pada 12 April lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan ECRL akan diteruskan dengan kos yang lebih rendah.
Kata PMO kos pembinaan bagi fasa satu dan dua ECRL dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion menjadi RM44 bilion menerusi rundingan selama beberapa bulan.
Sebagai rekod, kos asal untuk projek tersebut ialah sebanyak RM65.5 bilion. – MalaysiaGazette