Home Utama Enam stesen akan dibina, ECRL tidak ‘lompat’ Terengganu – Tun Daim

Enam stesen akan dibina, ECRL tidak ‘lompat’ Terengganu – Tun Daim

Tun Daim Zainuddin

KUALA TERENGGANU – Enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal dibina di Terengganu, sekali gus membuktikan negeri ini tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan projek berkenaan seperti dakwaan sesetengah pihak.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata rakyat Terengganu tidak perlu gusar dan keliru dengan keputusan jajaran baharu ECRL meskipun terdapat pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion menjadikan projek berkenaan kini bernilai RM44 bilion berbanding RM65.5 bilion sebelum ini.

“Perancangannya akan ada enam stesen di Terengganu. Ada stesen penumpang, ada kargo dan ada juga penumpang bersama kargo…tetapi saya tidak ingat semuanya.

ECRL akan lalu Terengganu..takkan nak melompat (ke Mentakab),” katanya yang berada di Terengganu bagi menghadiri program Bicara Darul Iman bertajuk Ekonomi Bumiputera:Agenda Nasional, hari ini.

Berdasar cadangan jajaran baharu itu, enam stesen di Terengganu meliputi Chukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu dan Kampung Raja.

Projek ECRL disambung semula susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Selain pengurangan kos, jajaran baharu ECRL ialah dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang juga menyaksikan panjang landasan turut dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding ranca­ngan awal 688 kilometer.

Daim juga berkata perjanjian tambahan (SA) antara MRL dan CCCC memberi pertambahan penglibatan kontraktor tempatan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

Selain itu katanya, projek terbabit akan merancakkan industri sampingan termasuk ‘inap desa’ dan perniagaan runcit akan berkembang apabila bermulanya ECRL.

“Kita akan melihat nanti akan banyak penglibatan usahawan besar mahupun kecil. Peluang ini akan menjadi ujian yang baik kepada usahawan di Terengganu dan seluruh pantai timur bahawa mereka berkelayakan untuk memenuhi permintaan dan bersaing,” katanya.

Sementara itu, mengulas masa depan usahawan Melayu, Daim yang merupakan bekas Menteri Kewangan berkata nasib golongan itu hanya boleh diubah menerusi sistem pendidikan selain perlu mengelak daripada terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

Tegas Daim, usahawan Melayu juga perlu bergerak dengan lebih berani dan berfikir di luar kotak bagi memastikan mereka mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa.

“Bila bercakap soal ekonomi dan agenda bumiputera, kita harus mula dengan pendidikan, akan tetapi kita tidak boleh berhenti di situ sahaja.

Pendidikan harus dipupuk dan diamalkan supaya diamal menjadi proses pembelajaran sepanjang hayat dan pemikiran kita juga harus berubah, jika tidak kita akan terus kekal dengan cara hidup selama ini,” katanya.

— BERNAMA