AMPANG – Tidak ada unsur kecuaian oleh enam orang bomba yang terkorban di lombong terbiar di Taman Putra Perdana, Puchong 3 Oktober tahun lalu.
Malah kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin, Jawatankuasa Siasatan Kes Kematian Enam Orang Anggota Bomba merumuskan kesemua anggota bomba yang pada waktu itu cuba menyelamatkan seorang remaja berusia 17 tahun mematuhi semua Standard Operation Procudere (SOP).
“Rumusan bahawa kes kematian 6 bomba tidak melibatkan apa-apa kecuaian daripada anggota bomba semua Standard Operation Procudere (SOP) telah diikuti semua garis panduan ikut apa yang dibelajar dan yang dilatih,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, sebaliknya ketika kejadian tersebut tidak ramai yang mengetahui bahaya kawasan Low Head Dam (LHD) seperti di lokasi kejadian Oktober tahun lalu itu.
Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa itu mendapati berlakunya kekeliruan daripada aspek komunikasi dalam kalangan pasukan penyelamat selain pelan tindakan kecemasan tidak berfungsi seperti yang dirancang.
Justeru, antara cadangan yang dikemukakan adalah mengkaji dan menambah baik kawasan yang mempunyai Low Head Dam yang membahayakan apabila ramai orang awam menjadikan lombong-lombong terbiar sebagai tempat rekreasi.
Kesedaran awam juga perlu dipupuk agar tidak sewenangnya menjadikan kawasan yang berisiko sebagai lokasi rekreasi, ujar Zuraida.
Selain itu, peralatan dan kelengkapan unit khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga perlu dinaik taraf, selain daripada latihan khusus dengan kes berkaitan kawasan LHD diberikan.
“Langkah pertama KPKT mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara melaporkan tempat-tempat Low Head Dam dan memastikan kerajaan tempatan memasang papan tanda.
“Selepas ini kita akan cari sumber yang boleh melatih dan akan hantar anggota bomba kita untuk latihan sekarang. Sekarang ini tidak ada latihan yang jelas,” tambahnya.
Laporan jawatankuasa yang ditubuhkan pada 16 November lalu itu kata Zuraida telah dibentangkan kepada Kabinet Jumaat lalu.
Untuk rekod, dalam kejadian 3 Oktober tahun lalu enam anggota bomba lemas ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, yang hilang di lombong terbiar di Taman Putra Perdana, Puchong.
Operasi berkenaan membabitkan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, anggota PPDA Shah Alam. – MalaysiaGazette