KUALA LUMPUR – Kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan pada Piliha Raya Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau Rantau semalam menunjukkan jasa baik akan terus dikenang dan diingati rakyat tanpa perlu dipaksa dan dimomokkan dengan ancaman fitnah dan taktik kotor yang menyerang peribadi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemenangan ini adalah satu amanah yang besar kepada BN dan Pas.
Tambah beliau, blok pembangkang harus terus bekerja keras untuk menyantuni dan membantu masyarakat yang saban hari dikecewakan oleh kerajaan semasa.
Jelasnya, kerjasama UMNO-Pas merupakan satu gelombang masyarakat yang membesar secara organik dan jujur.
“Perkara ini sekali gus membenarkan ketakutan serta kebimbangan tentang kebangkitan masyarakat seperti yang dizahirkan oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan khususnya DAP,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pertandingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S Streram mendapat 5,887 undi dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan Malarvizhi masing-masing mendapat 66 dan 67 undi.
Menurut Mohamed Khaled, masyarakat dilihat mahu terus memberikan isyarat keras kepada kerajaan bahawa rakyat boleh menilai dengan adil biar apa pun alasan yang digunakan untuk membalut kesilapan dasar dan keputusan mereka yang tidak menyebelahi rakyat.
Beliau yang bersyukur atas kemenangan Mohamad itu berkata, kemenangan yang sudah dijangkakan itu tidak pernah melalaikan semua pihak. – MalaysiaGazette