Home Nasional PDRM bekerjasama dengan POLRI siasat kertas undi Pemilu

PDRM bekerjasama dengan POLRI siasat kertas undi Pemilu

Mohamad Fuzi Harun
Mohamad Fuzi Harun,

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Polis Republik Indonesia (POLRI) berhubung penemuan sejumlah dokumen yang didakwa mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu).

Jelas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, PDRM telah mendapatkan bantuan POLRI kerana kes yang berlaku tidak melibatkan pelanggaran undang-undang Malaysia.

“PDRM kini sedang menjalankan siasatan bagi menentukan bentuk tindakan yang boleh diambil untuk membantu pihak berkuasa Republik Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, sekitar 300 karung mengandungi lebih 20,000 kertas undi yang telah bertanda dilaporkan ditemui di sebuah premis di Sungai Tangkas, Bangi dan Taman Kajang Utama.

Malaysia merupakan negara paling ramai pengundi berdaftar Indonesia dengan kira-kira 1.5 juta orang.

Menurut Timbalan Duta Indonesia ke Malaysia, Krishna Hannan, enam pusat undi dibuka di seluruh negara pada hari ini iaitu di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Tawau dan Kota Kinabalu bagi membolehkan proses pengundian awal rakyat Indonesia yang berada di Malaysia dijalankan.- MalaysiaGazette