Home Utama ECRL: Malaysia-China tubuh JV 50:50

ECRL: Malaysia-China tubuh JV 50:50

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA- Sebuah syarikat usahasama di antara Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Ltd. (CCCC) akan ditubuhkan bagi menjayakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Syarikat usahasama dengan nisbah kepentingan 50:50 itu bakal bersama-sama membina, mengurus, mengendali dan menyelenggara ECRL.

“CCCC telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam operasi dan penyelenggaraan melalui syarikat usahasama 50:50 dengan syarikat Malaysia, MRL.

“CCCC akan menyediakan bantuan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas projek ini siap.

“Ini akan mengurangkan beban kewangan Malaysia yang mengikut perjanjian asal, perlu menanggung kesemua kos operasi dan penyelenggaraan” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Projek ECRL dijangka siap pada 21 Disember 2026 lewat lebih dua tahun berbanding unjuran awal iaitu 30 Jun 2024.

Menurut Dr. Mahathir, susulan pengurangan kos projek kepada RM44 bilion, jumlah pinjaman daripada EXIM Bank China juga akan dikurangkan dengan signifikan.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui jumlah sebenar pengurangan tersebut kerana masih dalam rundingan.

“Namun begitu kami menjangkakan jumlahnya dapat dikurangkan dengan lebih banyak dan seterusnya mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung kerajaan Malaysia,” katanya lagi.

Tegas Dr. Mahathir, di bawah perjanjian tambahan itu, pembayaran akan dibuat mengikut peratusan kerja yang telah siap dan bukannya tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.

Tambahnya, CCCC juga bersedia untuk memulangkan semula wang sebanyak RM1 bilion daripada keseluruhan RM3.1 bilion pembayaran awal yang telah dibayar kerajaan terdahulu bagi melaksanakan kerja-kerja Fasa 2, landasan berkembar Fasa 2 dan landasan berkembar bagi pelanjutan jajaran utara.

Jelasnya, RM500 juta akan dibayar dalam minggu ini manakala baki RM500 juta lagi akan dibayar selewat-lewatnya 12 Mei depan.

Selain itu, perjanjian tambahan itu juga bakal meningkatkan sektor prasarana tempatan dengan penyertaan rakyat Malaysia dalam kerja-kerja kejuruteraan awal meningkat sebanyak 40 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan projek ECRL diteruskan selepas Perjanjian Tambahan (SA) MRL dan CCC dimeterai.

Bagaimanapun, kos pembinaan fasa satu dan dua projek berkenaan diturunkan kepada RM44 bilion.

Ia merupakan penjimatan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.- MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN: