Home Ekonomi Pembinaan ECRL bermula bulan depan

Pembinaan ECRL bermula bulan depan

MRL
CEO Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., Datuk Darwis Abdul Razak

PUTRAJAYA- Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dimulakan bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kerja-kerja pembinaan boleh dimulakan pada Mei bagaimanapun semuanya bergantung kepada kelulusan pihak berwajib.

“Kami mengharapakan projek dapat dijalankan seawal bulan depan tetapi semuanya tertakluk kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Apabila kami telah menandatangani perjanjian pada 12 April lalu, semua penggantungan yang dilaksanakan sebelum ini dihentikan serta-merta.

“Ketika ini kami sedang dalam proses merancang dan menggerakkan semua sumber,” katanya kepada pemberita selepas sidang media oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai butiran pinjaman bagi membiayai projek sejauh 640km itu, Darwis berkata, ianya masih di dalam rundingan.

“Setakat ini masih sama tetapi kami masih berunding mengenai terma dan syaratnya yang mana kami mengharapkan 85 peratus pembiayaan datang dari Exim Bank China manakala bakinya adalah daripada pinjaman dalam negara.

“Dari segi kadar faedah pun sama dengan perjanjian terdahulu iaitu 3.25 peratus tetapi rundingan masih lagi dijalankan,” jelasnya.

Rundingan

Tambah Darwis, beberapa perkara lain masih lagi dalam rundingan antaranya tempoh moratorium kerana projek yang sepatutnya siap pada 2024 itu telah dilanjutkan kepada 2026.

Menyentuh mengenai syarikat usahasama di antara MRL dengan China Communication Construction Company Ltd. (CCCC), Darwis berkata, 100 peratus pinjaman akan dibuat oleh Malaysia bagaimanapun pengoperasian projek berkenaan akan dilakukan secara usahasama dengan nisbah 50:50.

“Kos akan dibahagi sama rata.

“Jika ada keuntungan, MRL akan mendapat lebih banyak berbanding CCCC iaitu sehingga 80 peratus tetapi jika rugi, kita (MRL dan CCCC) akan menanggung bersama-sama,” katanya lagi.

Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan penubuhan syarikat usahasama MRL-CCCC yang akan membina, mengurus, mengendali dan menyelenggara ECRL.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

ECRL: Malaysia-China tubuh JV 50:50