PUTRAJAYA – Jika sebelum ini setiap calon yang menduduki ujian lesen memandu kenderaan akan diuji oleh seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di setiap sekolah memandu.
Namun untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan dan integriti ujian pemanduan, kerajaan bercadang untuk melaksanakan e-Testing tanpa pegawai dan dijangka bermula tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya sedang melakukan projek perintis e-Testing melibatkan ujian di litar di Institut Latihan Memandu di negeri Johor sejak tahun lalu.
“Secara konvensionalnya, ada penguji di sebelah pemandu atau pelatih yang menduduki ujian lesen memandu.
“Namun apabila e-Testing dilaksanakan nanti, tiada lagi penguji (pegawai JPJ) di sebelah pemandu atau calon yang menduduki ujian itu.
“Semua ujian pemanduan oleh calon atau pelatih semasa membawa kenderaan pada hari ujian akan dipantau melalui kamera litar tertutup (CCTV) khas dan sensor,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Hari JPJ Ke-73 di Kementerian Pengangkutan Jalan hari ini.