Home Nasional Awas sindiket guna nama CEO LHDN

Awas sindiket guna nama CEO LHDN

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu sindiket menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dikesan.

Ia bertujuan untuk menipu orang ramai kononnya mereka mempunyai isu pematuhan cukai yang perlu diselesaikan.

Sindiket yang menggunakan media sosial sebagai platform komunikasi itu bukan sahaja memaklumkan ‘masalah pematuhan cukai’ yang dihadapi oleh mangsa malah turut menawarkan khidmat membantu menyelesaikannya dengan caj tertentu yang perlu dibayar.

“Terdapat juga golongan yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM untuk mengugut pembayar cukai dan memaksa mereka untuk menjelaskan amaun cukai tertunggak kepada LHDNM melalui akaun milik mereka.

“Maklumat percukaian setiap pembayar cukai adalah sulit dan dijamin kerahsiaannya menurut Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif dan setiap pegawai LHDNM tidak dibenarkan untuk membincangkan maklumat percukaian setiap pembayar cukai dengan pihak-pihak yang tidak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut kenyataan yang sama, setiap penyelesaian isu pematuhan cukai dengan LHDNM tidak menggunakan orang tengah selain daripada Ejen Cukai Bertauliah yang dilantik manakala pembayaran baki cukai tertunggak pula hendaklah dibuat terus ke akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Sehubungan itu LHDNM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan sedemikian.

Sekiranya orang ramai mempunyai keraguan terhadap sebarang surat, e-mel, mesej atau pun panggilan telefon yang kononnya dari atau mewakili LHDNM sila dapatkan pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer di setiap cawangan LHDNM.- MalaysiaGazette