Home Utama Jangan tindas dan berlaku zalim kepada pelajar cemerlang masuk matrikulasi – DAP

Jangan tindas dan berlaku zalim kepada pelajar cemerlang masuk matrikulasi – DAP

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Isu seorang pelajar perempuan berketurunan India yang mendapat keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi mendapat respon dari pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar menggesa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik segera membetulkan ‘keadaan’ ini kerana ini bukan sesuatu yang baharu sebaliknya telah lama berlaku.

Sivakumar meluahkan rasa kecewa kerana walaupun setelah bertukar kerajaan namun isu ini masih lagi terus menghantui para pelajar khasnya yang benar-benar layak dan memiliki kelayakan cemerlang namun masih gagal menempatkan diri.

“Saya pernah membangkitkan isu ini beberapa kali di Dewan Rakyat tetapi tidak berhasil. Hari ini, selepas bertukar kerajaan masalah ini masih lagi wujud. Saya rasa sedih melihat pelajar-pelajar ini kecewa setelah bekerja keras membakar lilin peroleh keputusan peperiksaan cemerlang.

“Ibubapa mereka juga berasa sedih melihat anak kesayangan mereka yang pintar dikecewakan oleh sistem  pemilihan matrikulasi lepasan SPM yang tidak adil.

“Sejak pagi tadi, saya telah menerima puluhan panggilan telefon dari pelbagai pihak bertanyakan tentang isu ini malah rakan seperjuangan sendiri rasa kesal dengan perkara ini. Sebenarnya ini juga memudaratkan nama baik PH sendiri.

“Di bawah Malaysia Baru, tidak boleh dan tidak patut kerajaan mengamalkan kaedah pemilihan yang tidak rasional seperti ini. Kerajaan tidak boleh berlaku zalim terhadap pelajar-pelajar yang bijak pandai seperti yang dilakukan oleh rejim Barisan Nasional sebelum ini.

“Mohon Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik segera ambil tindakan selesaikan isu ini. Jika benar, pelajar ini perlu diberikan peluang malah pelajar cemerlang yang lain juga,” katanya sebentar tadi.

MalaysiaGazette semalam melaporkan sejak dua tiga hari ini, media sosial  memperkatakan tentang nasib seorang pelajar lepasan SPM berbangsa India yang mendapat 10A namun tidak berjaya mendapat tempat di matrikulasi.

Transkrip keputusan SPM pelajar perempuan itu yang menjadi tular itu juga menimbulkan tanda tanya dengan rata-rata mahukan jawapan dengan markah cemerlang seperti itu tidak berjaya masuk ke program matrikulasi

Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja mahu penjelasan terkini mengenai pengambilan 2,200 pelajar India seperti dijanjikan oleh kerajaan terdahulu.

Kata Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak dan Setiausaha PH Perak dalam nada berbaur amaran sekali lagi memberi peringatan kepada kepimpinan PH supaya berhati-hati dalam menangani isu-isu seperti ini.

“Saya sungguh berharap kerajaan PH yang dianggap jujur serta adil, serta mendokong aspirasi ‘Malaysia Baru’ akan menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“Sebagai Kerajaan Malaysia Baru, langkah-langkah yang menunjukkan keperihatin terhadap pelajar-pelajar cemerlang ini harus diambil dengan segera.

“Jangan sudah terperosok, baru hendak membaiki lantai,” tegasnya. –MalaysiaGazette

Apa nasib pelajar cemerlang India tak dapat matrikulasi?