Home Nasional Kita tidak ada duit kerana telah dicuri, kata Dr Mahathir

Kita tidak ada duit kerana telah dicuri, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memakai Gear VR 360 pada MIGHT Consultation 2019 di MIGHT Partnership Jalan Impact, Cyberjaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 APRIL 2019

CYBERJAYA – Masalah utama kerajaan Pakatan Harapan dalam menunaikan janji-janjinya adalah tidak mempunyai wang yang cukup, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mampukah kerajaan menunaikan janji-janjinya dalam tempoh enam bulan lagi seperti yang dikatakan Tun Daim Zainuddin baru-baru ini.

“Kita ada banyak masalah. Kita tidak ada duit kerana ianya telah dicuri.

“Itu masalah utama kita. Jika anda hendak buat apa-apa, anda perlukan duit,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri  Forum Menjayakan Industri Rel untuk Masa Hadapan anjuran MIGHT di sini hari ini.

Kelmarin Daim yang merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata, dalam tempoh enam bulan itu PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberi penerangan yang tepat terutama dalam hal ekonomi agar mereka faham situasi semasa.

Katanya kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan juga adalah cabaran yang harus ditangani memandangkan rakyat tidak mampu bersabar dengan situasi semasa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

PH perlukan enam bulan lagi untuk pulih negara – Daim