BERLIN – Lufthansa merekodkan kerugian operasi sebanyak 336 juta euro bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini disumbang oleh peningkatan harga bahan api dan lebihan kapasiti di Eropah.
Ini menyebabkan saham syarikat penerbangan itu jatuh lima sen hari ini.
Syarikat penerbangan terbesar Jerman itu berkata, peningkatan kos bahan api sebanyak 202 juta euro adalah penyumbang utama kerugian.
Ini ditambah dengan penyusutan teruk perolehan oleh anak-anak syarikatnya termasuk SWISS dan Austrian Airlines serta syarikat penerbangan tambang rendah, Eurowings dalam tempoh berkenaan.
Lufthansa menjangkakan perolehan bertambah baik pada suku kedua apabila jumlah tempahan semakin pulih.
Katanya, ia menjangkakan mampu melakukan penyelarasan margin keuntungan sebanyak 6.5 peratus sehingga 8.0 peratus bagi keseluruhan 2019.- Agensi