Home Ekonomi SC lantik 7 ahli MVCDC

SC lantik 7 ahli MVCDC

Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan ahli-ahli baharu Majlis Pembangunan Modal Teroka dan Ekuiti Swasta Malaysia (MVCDC) yang dilantik oleh Kementerian Kewangan.

MVCDC ditubuhkan pada 2005 sebagai satu majlis antara menteri dengan wakil sektor awam dan swasta untuk memberi visi dan hala tuju, memberi nasihat kepada kerajaan dan memudahcarakan penyelarasan strategi untuk keseluruhan
pembangunan modal teroka (VC) dan ekuiti swasta (PE).

MVCDC dipengerusikan oleh Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar dan Timbalan Ketua Eksekutif SC, Datuk Zainal
Izlan Zainal Abidin juga merupakan ahli Majlis tersebut.

Ahli-ahli MVCDC baharu, yang dilantik bagi tempoh dua penggal bermula 1 Mac 2019 ialah Datuk Seri Dr Mohd Azhar Haji Yahaya
(Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim); Suhara Salleh Timbalan Pengarah (Sektor Perkhidmatan Am) Kementerian Kewangan;  Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir (Ketua Pegawai Eksekutif, Ekuiti Nasional Bhd dan Dr V Sivapalan Presiden, Malaysian Business Angels Network.

Turut dilantik Surina Shukri (Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Digital Economy Corporation; Victor Chua (Presiden, Malaysian VC dan PE Association) dan Mohd Irwan Ahmad Mustafa
(Naib Presiden Kanan dan Ketua Pelaburan Swasta, Permodalan Nasional Bhd).

Memandangkan pentingnya pembiayaan VC dan PE dalam memacu keusahawanan dan memangkin usaha kerajaan ke arah mencapai status negara ke arah ekonomi tambah nilai berpendapatan tinggi, MVCDC telah melaksanakan
pelbagai inisiatif dengan kerjasama erat dengan kerajaan untuk memacu pertumbuhan industri.

Ini termasuk langkah-langkah untuk meningkatkan insentif cukai, menarik pelaburan oleh syarikat-syarikat korporat, menggalakkan kemasukan peserta industri asing, memperkemas pembiayaan kerajaan dan memperluas kumpulan profesional industri.

SC berkata, peranan yang dimainkan oleh SC sebagai pengerusi MVCDC adalah sejajar dengan tanggungjawabnya sebagai pengawal selia pasaran modal yang termasuk mengawasi pembangunan saluran pembiayaan alternatif seperti VC dan PE, serta pendanaan ekuiti ramai dan pembiayaan antara rakan setara. – MalaysiaGazette