Home Nasional ‘Biarlah orang nak bincang kenapa dia buka tudung’

‘Biarlah orang nak bincang kenapa dia buka tudung’

Latheefa Koya

KUALA LUMPUR – Latheefa Koya tidak bersetuju apabila individu dipaksa memakai tudung kerana berpendapat ia bukan cara Islam.

Peguam dan pengasas Lawyers for Liberty itu mempersoalkan adakah seseorang akan masuk neraka, jadi murtad atau seorang perempuan jalang hanya semata-mata tidak memakai tudung.

Menurutnya, pemahaman itu merupakan satu pemikiran ekstremis.

“Dan saya juga tidak setuju kalau pengajaran Islam adalah hanya berasaskan pemakaian, kalau pakai tudung, adakah maksudnya dia itu alim?

“Kita tahu zaman ini, ianya mengambil lebih dari hanya satu helai kain atas kepala untuk mencerminkan akhlak yang mulia. Bukan sekadar tudung sahaja.

“Biarlah orang nak bincang kenapa dia buka tudung atau pakai tudung,” katanya melalui akaun Facebooknya hari ini.

Latheefa sendiri memakai tudung atas kehendak sendiri.

“Saya mula-mula pakai tudung masa Tingkatan 6. Saya dari assunta – jadi semasa saya pakai – adalah sebagai satu tanda rebel, bukan sangat sebab saya nak jadi ‘alim’. Sebab ketika itu saya terbaca orang yang pakai tudung di negara lain seperti di Turki, Mesir dianiaya dan tidak dibenarkan, saya rasa marah.

“Tetapi saya pakai tudung ni – agak fluid lah, maksudnya, masa saya mula-mula pakai – kadang-kala saya buka, kadang kala saya pakai, sebab rimas, tak biasa, malu, etc.

“Tetapi akhirnya setelah beberapa tahun lalu, saya rasa selesa pakai tudung, telah jadi second nature,  tak pikir pun apa ada atas kepala saya tu. Selalu kena tegur oleh kawan-kawan sebab tudung saya senget, hahaha,” tambahnya.

Kenyataan yang dibuat oleh Latheefa itu dipercayai ada kaitan dengan sebuah forum membincangkan pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam beberapa hari lalu.

56997469_10157168723344288_792401726442307584_n

Penganjuran forum itu sedang disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof memandang serius penganjuran forum yang dilakukan selepas pelancaran buku oleh seorang aktivis, Maryam Lee.

Menurut Latheefa lagi, tidak bermakna orang yang dengar atau hadiri forum itu akan terus luntur imannya.

“Biar seseorang wanita itu bebas memikir dan memilih sama dia mahu berhijab atau tidak.

“Janganlah mencerminkan orang Islam itu terlalu rapuh dan obses kepada bentuk badan, dan rambut, dan seks,” ujar Anggota Jawatankuasa Pusat PKR itu lagi. – MalaysiaGazette