KUALA LUMPUR – Pembinaan jajaran projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) di antara Gombak ke Ampang tidak akan menghancurkan struktur Quartz Ridge atau Jajaran Kuartza sepanjang 16 kilometer kerana pembinaan terowong dilakukan dengan saiz yang minimum untuk laluan tren sahaja.
Sebaliknya, ancaman sebenar kepada Klang Gate Ridge adalah pembinaan perumahan di sepanjang Gombak ke Ampang yang kian menghakis struktur geologi ini di atas permukaan bumi.
Kuartza ini merupakan mineral berbentuk kristal yang terdapat di dalam batuan.
Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahrir Adnan berpendapat, cadangan jajaran baharu untuk ECRL ini adalah satu langkah politik.
“Ia bukanlah satu keputusan yang berteraskan faktor geologi dan alam sekitar seperti dicanang Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan ini.
Mengulas pendapat bahawa laluan baru lebih baik kerana tidak melalui sesaran (fault zone) atau rekahan atau zon rekahan pada batuan yang memperlihatkan peregeseran, khususnya Bukit Tinggi Fault, Shahrir yang juga seorang geologis berkata, laluan baharu ECRL akan melalui Lebir Fault, Lepar Fault, Bentong Fault, Kuala Lumpur Fault dan terbaharu adalah Putrajaya-Seremban Fault.
Oleh itu, perbahasan struktur Bukit Tinggi Fault tidak boleh digunapakai kerana laluan baru akan melalui tambahan Putrajaya-Seremban Fault.
“Sebenarnya, rakyat Malaysia tidak perlu risau dengan pandangan fault zone dan gempa bumi berkaitan pembinaan ECRL.
Gempa bumi hanya berlaku apabila fault zone diaktifkan disebabkan oleh tenaga dalam bumi yang dilepaskan.
“ECRL tidak akan mengaktifkan fault zone ini.
Sehubungan itu, Shahrir meminta Pakatan Harapan berhenti memberikan alasan-alasan yang mengelirukan
rakyat.
“Kenapa pula Lynas diteruskan walhal dahulu berdemonstrasi mahu menghentikan operasi sewaktu menjadi pembangkang untuk memelihara alam sekitar?
“Kini laluan ditukar kerana mahu memelihara alam sekitar. Kita harap kerajaan Pakatan Harapan berhenti memberikan alasan-alasan yang mengelirukan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette