Home Politik Aziz Bari nafi audio tular kritik MB Perak milik beliau

Aziz Bari nafi audio tular kritik MB Perak milik beliau

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari menafikan beliau merupakan dalang untuk menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi undi tidak percaya.
Abdul Aziz Bari

IPOH – “Saya tidak tahu, ia (rakaman audio) tidak authentic (sahih),” demikian reaksi Dr Abdul Aziz Bari mengenai rakaman tular terbaharu mengkritik kepimpinan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat itu tular sejak semalam didakwa milik suara seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Exco), malah ada yang mengaitkannya dengan Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri.

Abdul Aziz ketika ditemui media menegaskan dalam era kecanggihan teknologi ketika ini, pelbagai perkara boleh dibuat.

“Saya tidak tahu. Saya tidak dengar (rakaman audio), rakaman seperti ini datang daripada sumber tidak rasmi dan boleh dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan rakaman audio itu milik beliau, Abdul Aziz (DAP-Tebing Tinggi) menafikannya dan menyifatkan ia sebagai sembang kedai kopi.

“Semua kata macam itu, tapi sekarang ini macam-macam orang dituduh macam itu. Kecuali kalau saya buat sidang media, semua orang nampakkan (wajah saya)…asli dan ‘authentic’ kan,” soalnya.

Selain itu, Abdul Aziz turut mempertikaikan mengapa beliau dikaitkan dengan rakaman audio tular tersebut.

“Kenapa diarah kepada saya sahaja, saya seorang sahajakah ada potensi untuk jadi menteri besar Orang lain tiada Banyak kali dah,” demikian pertikai Abdul Aziz.

Abdul Aziz sebelum ini juga pernah dikaitkan sebagai dalang yang menggerakkan usaha untuk menggulingkan menteri besar, namun beliau menafikannya.

Ahmad Faizal juga menafikan usaha menggulingkannya, sebaliknya menegaskan hubungan beliau dengan 10 lagi Exco sangat baik umpama ‘satu keluarga besar yang gembira’.

— BERNAMA