KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia diunjur mengekalkan kadar asas semalaman (OPR) 3.25 peratus pada tahun ini.
MIDF Research berkata, walaupun petunjuk makroekonomi menunjukkan tanda-tanda sederhana terutamanya di peringkat global, namun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kekal kukuh tahun ini.
Kelembapan perdagangan luar, pengeluaran perindustrian dan prestasi jualan pembuatan pada 2018 berbanding 2017 akan berterusan sehingga tahun ini.
“Walau bagaimanapun, kami yakin KDNK Malaysia disokong oleh perbelanjaan domestik yang kukuh, pengambilan berterusan dalam harga komoditi dan pasaran buruh yang stabil. Lantaran itu, kami mengekalkan ramalan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini 4.9 peratus berdasarkan petunjuk makroekonomi yang stabil.
“Malah, perubahan monetari juga tidak diperlukan pada masa ini ntuk memastikan tidak ada kesan buruk yang boleh menjejaskan trajektori pertumbuhan domestik Malaysia.
“Tambahan pula, Amerika Syarikat telah menyatakan untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa sepanjang tahun 2019,” menurut firma penyelidikan itu.
Namun, katanya, Bank Pusat akan mengurangkan OPR sekiranya pertumbuhan KDNK di bawah 4.0 peratus.
Kali terakhir BNM mengurangkan kadar faedah utama adalah pada 16 Julai 2016.
Sebelum itu, Bank Pusat menurunkan kadar penanda aras pada Februari 2009 sebagai tindak balas terhadap krisis kewangan global 2008/09.
Pengurangan OPR pada tahun 2016 itu disebabkan risiko yang semakin meningkat di bahagian luaran yang mana memberi kesan kepada pertumbuhan.
Kemudian, ekonomi berkembang sebanyak 4.1 peratus pada suku pertama 2016, berkurangan secara mendadak daripada 4.7 peratus tahun ke tahun pada suku sebelumnya yang mendorong penurunan kadar faedah.
Pada suku tersebut, lebihan dagangan dicatatkan pada RM23.9 bilion (4Q15: RM30.6 bilion).
Sebagai perbandingan, berdasarkan data terkini, pertumbuhan KDNK dan lebihan perdagangan pada suku keempat 2018 direkodkan masing-masing kepada pada 4.7 peratus tahun ke tahun dan RM34.8 bilion. – MalaysiaGazette