Home Nasional China sedia mencari Jho Low

China sedia mencari Jho Low

locate Jho Low Low Taek Jho fugitive businessman
Jho Low

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa China bersedia memulakan pencarian bagi mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang kini menjadi buruan, sekiranya menerima maklumat baharu mengenainya, kata Duta China ke Malaysia Bai Tian.

Beliau berkata, beberapa usaha mencari atas permintaan Malaysia selepas kerajaan baharu mengambil alih pemerintahan, menemui jalan buntu.

“Saya tidak tahu sama ada Jho Low berada di China. Polis China telah memberikan tumpuan penuh terhadap permintaan itu.

“Berdasarkan maklumat diberikan pihak Malaysia … (kami) telah menjalankan pencarian yang teliti dan terperinci, tetapi maaf kerana tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini,” katanya kepada media Malaysia di Kedutaan China di sini Khamis.

Beliau berkata, pihak China telah memaklumkan perkara itu kepada polis Malaysia.

Bai Tian berkata China dan Malaysia, termasuk pihak berkuasa undang-undang, bekerjasama rapat dan mempunyai hubungan yang baik.

Jho Low, yang dikenalpasti oleh penyiasat dari Malaysia dan Amerika Syarikat sebagai suspek utama dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai bilion ringgit, dipercayai berjaya meloloskan diri daripada ditahan di Hong Kong dan lari ke sebuah pulau berhampiran Macau. – MalaysiaGazette