Home Utama HSR penting tetapi tidak perlu terlalu mewah

HSR penting tetapi tidak perlu terlalu mewah

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib bercakap kepada media pada Lawatan Pengenalan Media mengenai UEM Sunrise's Iskandar Puteri dan Singapore Property Sales Gallery di Puteri Harbour, Johor. foto IQBAL BASRI, 17 APRIL 2019

JOHOR BAHRU – Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) mungkin boleh dilaksanakan dengan mengurangkan kos yang tidak perlu termasuk pembinaan stesen-stesen yang terlalu mewah sehingga menelan kos yang tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek itu diketahui umum mempunyai potensi besar untuk memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan ekonomi di sepanjang laluannya dan Malaysia secara amnya.

“Kita tidak boleh menafikan potensi HSR (kepada ekonomi) malah UEM Sunrise sendiri telah memperuntukkan 70 ekar tanah bagi membangunkan stesen tren berkenaan.

“Kami gembira apabila kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sahaja pembinaan projek HSR dan bukan membatalkannya.

MGF17042019_UEM Iskandar Puteri_18
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib. foto IQBAL BASRI, 17 APRIL 2019

“Kami mungkin boleh bekerjasama dengan kerajaan supaya projek tersebut dapat diteruskan (dengan kos yang lebih rendah) contohnya seperti laporan-laporan media yang kita baca, ada stesen yang sangat mewah sehingga menelan kos RM2 bilion, kita mungkin tidak perlu stesen-stesen semewah itu.

“Saya berharap kerajaan Malaysia dan Singapura boleh mencapai kata sepakat untuk meneruskan semula projek berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk Malaysia memiliki keretapi berkelajuaan tinggi terutama bagi perjalanan jarak dekat seperti Kuala Lumpur-Singapura.

Bagaimanapun jelasnya, kajian berhubung projek HSR Kuala Lumpur-Singapura masih lagi diteruskan dan pelaksanaannya akan ditangguhkan sehingga kajian selesai.

Malaysia juga katanya akan membayar pampasan kepada Singapura akibat penangguhan tersebut.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan akan menumpukan kepada usaha untuk menaik taraf kemudahan rel sedia ada termasuk membina landasan berkembar dan elektrik bagi kegunaan pengguna.

Menurut Anwar Syahrin, penangguhan projek HSR itu tidak menjejaskan perniagaan UEM Sunrise buat masa ini.

UEM Sunrise
Sebahagian projek perumahan yang telah siap di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor yang dibangunkan oleh UEM Sunrise Bhd. foto IQBAL BASRI, 17 APRIL 2019

Ini kerana pelan induk Pembangunan Berasaskan Transit (TOD) Gerbang Nusajaya oleh UEM Sunrise itu adalah sebuah pelan jangka panjang bagi tempoh 15 sehingga 20 tahun.

TOD Gerbang Nusajaya melibatkan kawasan seluas 300 ekar yang turut merangkumi 70 ekar tanah untuk pembinaan stesen HSR.

Susulan penangguhan projek HSR, UEM Sunrise juga menangguhkan pelaksanaan TOD sejak pertengahan tahun lalu.

Bagi tempoh jangka panjang, pembangunan di sekitar Iskandar Puteri di Johor sangat bergantung kepada kesalinghubungan, kata Anwar Syahrin.

Bagaimanapun,UEM Sunrise katanya, mempunyai sedikit kelebihan apabila kedudukan pembangunan bercampur di Gerbang Nusajaya terletak kira-kira lima minit pemanduan dari Link Kedua Tuas yang turut menjadi perhatian pelabur.-MalaysiaGazette