KUALA LUMPUR – Sejak minggu lepas kecoh tentang kegagalan pelajar cemerlang dalam kalangan masyarakat India yang gagal mendapat tempat ke program matrikulasi.
Malah pelajar ini bukan sahaja calang-calang sebaliknya dipercayai mendapat pangkat 10A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun tidak dapat dipastikan mengapa mereka gagal mendapat tempat untuk mengikuti matrikulasi.
Pelajar terbabit yang sempat bercakap dengan MalaysiaGazette mengakui telah mengemukakan rayuan kerana maahu mengikuti program matrikulasi.
Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) yang juga Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mempersoalkan apakah status pengambilan dan penempatan matrikulasi bagi pelajar India di negara ini.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah telah mengutus surat kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta penjelasan bagaimana pelajar cemerlang gagal mendapat tempat.
Dengan memberi contoh inisiatif kerajaan terdahulu yang mengumumkan pengambikan 1,500 pelajar ke program tersebut.
Kata Saravanan, di bawah Pelan Induk India telah memohon supaya diberi tambahan tempat sebanyak 700 tempat pada 2018 dan ia telah diluluskan.
“Pada 15 April 2019 Bahagian Matrikulasi KPM telah mengumumkan keputusan matrikulasi bagi pelajar yang telah memohon untuk melanjutkan pelajaran ke matrikulasi.
“Didapati bahawa ramai pelajar yang sungguh cemerlang dalam SPM dalam kalangan India gagal mendapat ke progam matrikulasi 2019.
“Saya mohon jasa baik Yang Berhormat Maszlee Malik untuk tampil beri jawapan kepada status pengambilan seramai 2,200 oraaang ke program pada tahun ini. Saya juga akan sertakan jumlah bilangan pelajar yang memohon dan diterima pada 2013 seingga 2017.
“Timbalan Menteri Pelajaran pada masa itu, Datuk P Kamalanathan banyak mengambil inisiatif tambahan bagi memastikan Bahagian Matrikulasi dan KPM memberi tawaran yang dijanjikan oleh kerajaan terdahulu, Barisan Nasional,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan ketika bercakap dengan MalaysiaGazette tidak pasti apa yang sedang berlaku sehingga menyebabkan pelajar cemerlang seperti ini tidak mendapat tempat.
“Tidak pasti apakah kriteria tapi kami mahukan jawapan pada masa ini, kalau dulu sibuk menyalahkan kami.
“Jadi persoalan kini anda jauh lebih baik jadi mengapa masalah seperti ini berlaku? Jangan sampai semua ini menyebabkan masyarakat India yang pernah mengundi bagi kemenangan besar kamu pada PRU lepas marah,” katanya.
Pada Ahad lalu MalaysiaGazette melaporkan tentang nasib seorang pelajar lepasan SPM berbangsa India yang mendapat 10A namun tidak berjaya mendapat tempat di matrikulasi.
Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja mahu penjelasan terkini mengenai pengambilan 2,200 pelajar India seperti dijanjikan oleh kerajaan terdahulu.
MalaysiaGazette juga difahamkan KPM akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini dalam masa terdekat, selewat-lewatnya hari ini. – MalaysiaGazette
Kuota 2,200 untuk program matrikulasi penuntut India masih kekal?
Jangan tindas dan berlaku zalim kepada pelajar cemerlang masuk matrikulasi – DAP