Saturday, November 16, 2024
Home Sukan Pep kata kejam, Pochettino tidak percaya

Pep kata kejam, Pochettino tidak percaya

Foto Daily Mail.

MANCHESTER  – Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tidak percaya pasukannya dapat melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara dalam aksi penuh dramatik awal pagi tadi.

Dia menganggap bola sepak adalah gila kerana anak buahnya dibantu penggunaan video bantuan pengadil (VAR) pada waktu kecederaan ketika mereka sudah di ambang penyingkiran selepas jaringan Manchester City tidak dibenarkan kerana ofsaid

Pasukan pelawat menyingkirkan tuan rumah menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedudukan suku akhir terikat 4-4 secara agregat.

“Keputusan ini sukar dipercayai dan pemain adalah wira yang sebenarnya.

“Salah satu sebab saya suka bola sepak kerana kadangkala ia gila dan apa sahaja boleh berlaku.

“Hari ini, kami menjaringkan tiga gol di sini dan ia bukannya tugas mudah. Saya merakamkan ucapan tahniah kepada Manchester City kerana mempamer aksi mengagumkan,” kata Pochettino kepada media selepas permainan berakhir.

Pengurus City, Pep Guardiola pula menyifatkan nasib tidak menyebelahi mereka selepas anak buahnya sudah melakukan segala yang terdaya untuk menang 4-3.

“Kami menjaringkan gol dan pemain sudah melakukan tugas mereka namun VAR menjadi penentu.

“Adakah ini keputusan yang betul? Gol (Fernando) Llorente (jaringan ketiga Spurs) patut dibatalkan kerana bola terkena tangan tetapi dibenarkan.

“Jaringan kami pula tidak dibenarkan kerana ofsaid dan ia keputusan kejam.

“Malangnya kami lagi sekali gagal ke peringkat seterusnya. Misi memburu empat trofi sudah berakhir,” ujar Guardiola.

Tottenham kini akan menentang kelab Belanda, Ajax dalam separuh akhir. – MalaysiaGazette