KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan seorang warga Malaysia mengalami kecederaan akibat gempa bumi yang melanda wilayah Hualien, Taiwan pada hari ini.
Menurut satu kenyataan, mangsa dilaporkan cedera akibat runtuhan batu semasa melawat Taman Negara Taroko.
Tambahnya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Hualien Tzu Chi.
“Kementerian Luar Negeri melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei akan terus memantau keadaan mangsa dan menghulurkan bantuan sewajarnya,” kata kenyataan itu.
Wilayah Hualien digegarkan dengan gempa bumi berskala 6.1 dan 4.1 skala Richter pada pukul 1.01 tengahari dan 1.17 tengahari tadi.
Menurut kenyataan itu, warga Malaysia yang terjejas akibat bencana itu dan memerlukan bantuan konsular dinasihatkan menghubungi Pusat Persahabatan dan perdagangan Malaysia di Taipei di alamat Tingkat 8, San Ho Plastic Building, 102 Dun Hua North Road, Taipei, Taiwan atau menghubungi talian +(886) 22713 2626. – MalaysiaGazette