PUTRAJAYA – Tindakan pemilik Berjaya Air, Tan Sri Vincent Tan yang menyalahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) atas insiden kemalangan yang menyebabkan juruteknik syarikat itu meninggal dunia bersifat peribadi.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pihaknya tidak boleh mengambil kira dakwaan dan pendapat peribadi yang menyalahkan MAHB dan perlu bertanggungjawab terhadap tragedi 18 Mac lalu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
“Itu pendapat kenyataan peribadi dia (Vincent Tan), saya tak boleh komen.
“Siasatan sedang diteruskan dan kerajaan akan bersifat telus dalam siastatan ini sebab itu kami mendedahkan laporan awal siasatan kejadian ini kepada umum.
“Ada 11 bulan lagi untuk kami melengkapkan laporan akhir insiden ini,” katanya kepada pertanyaan pemberita dalam sidang media berhubung insiden itu pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3.25 pagi itu, juruteknik MAHB, Mohamad Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39 parah pada kepala selepas kenderaan dinaiki dilanggar sebuah pesawat peribadi ketika mendarat.
Muhamad Ruzaimi dipercayai berada dalam Perodua Kembara milik syarikat berkenaan untuk memantau kerja-kerja penyelenggaraan di landasan.
Perlanggaran itu menyebabkan bahagian bumbung Perodua Kembara terbabit tercabut selepas terkena sayap pesawat berkenaan.
Vincent yang juga Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, dalam satu kenyataan susulan kejadian itu pada 21 Mac lalu telah menuding jari ke arah pihak pengurusan lapangan terbang itu yang sepatutnya bertanggungjawab atas kecuaian mereka yang menyebabkan kemalangan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony berkata, pekerja seharusnya diiringi untuk memasuki landasan dan tidak boleh dibiarkan berseorangan.
“Siasatan telus dijalankan dan mana-mana pihak yang kami rasakan bertanggungjawab dalam insiden ini kami akan mengambil tindakan terhadap mereka.
“Tetapi buat masa ini, kami tidak boleh tentukan siapa bertanggungjawab manakala ATC (Pengawal Trafik Udara) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) turut meneliti penemuan berfakta dan bagaimana memastikan insiden sama tak berulang lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua AAIB yang mengendalikan siasatan itu, Kapten Yahaya Abdul Rahman yang hadir pada sidang media khas itu berkata, pihak penyiasat juga meneliti rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) untuk mendapatkan input kejadian.
“Selain itu kami juga sedang merujuk pandangan pakar kemalangan udara untuk meneliti sama ada semasa kejadian ‘beacon’ atau lampu berputar dipasang atau tidak pada masa itu sebab dilihat ‘pale’ (suram) dan seluruh deretan lampu landasan ‘gone’ (tidak bernyala) semasa penyelenggaraan lampu landasan oleh kontraktor,” ujarnya. – MalaysiaGazette